Program Titian Kasih 2017

SMKAP MENANG BANYAK KATEGORI SEHINGGA PASANGAN DIRAJA TURUT MERAIKAN KEJAYAAN SEMPENA PROGRAM TITIAN KASIH 2017
 SMKAP menang banyak kategori sehingga pasangan diraja turut meraikan kejayaan

Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim (kanan) mewakili GPSBestari menyampaikan replika cek kepada Shabariah.

KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM7,000 daripada wakil GPSBestari kepada Shabariah setelah baginda merasmikan Galeri Seni SMKAP.

Kehadiran baginda turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua ibarat kemenangan berganda buat pihak sekolah yang menang banyak kategori dalam Anugerah Kecemerlangan GSPBestari.

‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Itu perumpamaan yang sesuai diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Alawiyah Kangar (SMKAP) yang mendapat tempat dalam enam kategori Anugerah Kecemerlangan GPSBestari.

Shabariah

Pengetuanya, Shabariah Othman berkata, pihak sekolah tidak meletakkan harapan tinggi ketika menghantar penyertaan tahun lalu kerana menyedari saingan antara peserta sangat sengit.

“Bagaimanapun alhamdulillah, saya bersyukur ketika diumum-kan sekolah kami mendapat tempat dalam keenam-enam kategori disertai.

“Kemenangan ini berkat kerjasama semua pihak iaitu pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pekerja yang sentiasa memberikan komitmen tinggi, selain bekerja dalam satu pasukan.

“Malah, saya turut menerapkan moto ‘Sederap, selangkah, seiring dan sejalan’ dalam kalangan warga SMKAP untuk membudayakan semangat kerjasama dan bersatu padu di sekolah,” katanya, pada Program Titian Kasih 2017 di SMK Agama (P) Alawiyah Kangar, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah bergambar bersama potret yang dilukis pelajar sekolah berkenaan.

Naikkan semangat SMKAP

Shabariah berkata, sebelum ini sekolah berkenaan juga pernah mendapat tempat ketiga Pertandingan Mural MUFORS yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.

“Bertitik tolak daripada kemenangan itu, ia berjaya menaikkan lagi semangat warga SMKAP untuk terus menjadikan sekolah sebagai tempat kondusif dan ceria untuk belajar.

“Pihak sekolah juga bersepakat menggunakan hadiah RM10,000 ini sebagai modal menambah baik beberapa tempat sekitar sekolah,” katanya.

Beliau berkata, sekolah beruntung kerana pelajar turut memberikan komitmen tinggi dan tidak merosakkan karya atau hasil kerja.

“Sebelum ini, sekolah kami juga pernah mendapat tempat keempat Tandas 1Malaysia peringkat kebangsaan, jadi apabila menyertai anugerah ini bagi kategori Tandas Paling Ceria, kami hanya menambah baik beberapa perkara sahaja kerana kebersihan dan kecantikan tandas masih kekal,” katanya.

 Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah menanam pokok bunga bougainvillea, disaksikan Shabariah.

Anugerah banyak beri manfaat

Shabariah yang hampir enam tahun bergelar pengetua di sekolah berkenaan berkata, penganjuran Anugerah Kecemerlangan GPSBestari memberi manfaat kepada pelajar, selain menerapkan pelbagai nilai murni.

“Seharusnya penganjuran ini diteruskan pada masa akan datang, kerana melalui anugerah seperti inilah kita dapat melatih pelajar sayangkan sekolah.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak GPSBestari atas pemberian bahan bacaan bernilai RM10,000 sebelum ini.

“Pihak sekolah telah menempatkan buku-buku tersebut di beberapa sudut nilam yang terdapat di sekitar kawasan sekolah,” katanya.

SMKAP menerima hadiah wang tunai RM7,000 setelah mendapat johan kategori Tandas Paling Ceria dan Kelas Paling Ceria, manakala selebihnya mendapat tempat ketiga dalam kategori Lanskap Paling Ceria, Mural Paling Kreatif, Cikgu Paling Popular dan Video Paling Kreatif.

Raja Muda Perlis berkenan mencemar duli merasmikan Galeri Seni SMKAP.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan bergambar bersama guru-guru SMKAP.

Pelajar teruja menerima kunjungan pasangan diraja.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah cukup ‘sporting’ bergambar di mural gambar terbalik di sekolah itu yang mendapat tempat ketika Mural Paling Kreatif Anugerah Kecemerlangan GPSBestari.

smkapedu

Translate »
powered by rekommend.io