Pertandingan Mural anjuran Kementerian Pendidikan (KPM)

Walaupun sekadar mendapat sagu hati dalam Pertandingan Mural anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) tahun ini namun pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Alawiyah tetap tidak berputus asa.

Keputusan itu diumumkan pada majlis pengumuman dan penyampaian hadiah yang diadakan di Dewan Auditorium, KPM, Putrajaya, 27 Februari lalu. Guru Seni Khairul Azmir Ahmad berkata, pada tahun ini kami kurang bernasib baik dan hanya dapat saguhati walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh.

“Setem dipilih sebagai medium untuk menyampaikan tema kali ini memandangkan setiap acara mempunyai setem khas tertentu. Pelajar dan guru bertungkus lumus selama dua minggu untuk siapkan mural berkenaan.

Empat lukisan pelajar yang dipilih adalah hasil karya Nur Alya Sofia Zairi dari kelas 4 Zainab, Nurzarifah Zainurin (4 Ummi Kalsom), Siti Nursolehah Tahrim (4 Ummi Kalsom) dan Ummie Nur Fathirah Asmawi (4 Siti Aisyah).

“SMKA(P) Alawiyah berentap dengan 75 sekolah lain dari seluruh negara dalam pertandingan yang berlangsung sebulan berakhir Disember lalu. “Pada Disember, seorang jurufoto datang ke sekolah dan mengambil gambar mural dan dicetak untuk dinilai lima juri di KPM,” katanya.

Pasukan SMKA (P) Alawiyah membawa pulang wang RM1,000 dan sijil. Pada 2015, SMKA(P) Alawiyah mendapat tempat ketiga pada pertandingan sama dan membawa pulang wang tunai RM10,000.

http://www.gpsbestari.com/berita/perlis/walaupun-hanya-dapat-saguhati-tapi-semangat-warga-smka-p-alawiyah-buat-kita-bangga-1.803923