Sarana Sekolah

Sarana Sekolah merupakan suatu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dengansekolah demi kecemerlangan masa hadapan negara yang tercinta: M A L A Y S I A

 

Sarana ini disediakan khas untuk kegunaan pihak sekolah dan dilaksanakan secara kerjasama dengan rakan kongsi sekolah (Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Lembaga Pengurus Sekolah, Persatuan Bekas Murid/Alumni, Ahli Majlis Permuafakatan Sekolah dan ahli komuniti). Tujuan asasnya ialah untuk mempertingkatkan kerjasama antara pihak sekolah dan pihak-pihak lain yang turut mempunyai kepentingan dengan sekolah.

 

Sarana ini mengandungi soal selidik untuk pihak sekolah serta rakan kongsinya. Dapatan dari analisis soal selidik boleh digunakan untuk mengukur sejauh mana enam elemen yang menyokong pembelajaran dilaksanakan di sekolah. Analisis ini juga memberi ruang untuk pihak sekolah meningkatkan penglibatan ibu bapa dan ahli komuniti dalam menyediakan enam elemen yang menyokong pembelajaran.

 

 Amalan-amalan terbaik daripada PIBG sekolah dalam dan luar negara disertakan dalam sarana ini untuk memberi gambaran usaha dan penglibatan mereka dalam membantu usaha sekolah mencemerlangkan murid. Mudah-mudahan amalan-amalan tersebut akan dapat menambah cadangan  kepada usaha-usaha yang dapat dilaksanakan sekolah dengan kerjasama PIBG/LPS dan ahli komuniti.

 

Cadangan-cadangan yang disertakan dalam sarana ini bukanlah merupakan usaha yang baharu maupun  senarai lengkap kerana setiap sekolah mempunyai ibu bapa, komuniti, persekitaran, kemudahan serta pengalaman yang unik dan berbeza-beza. Walaupun demikian, setiap suatu usaha yang diambil oleh PIBG dan komuniti untuk terlibat lebih mendalam dengan sekolah amat wajar dialu-alukan.

 

 

Peningkatan dalam penglibatan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah akan memberi peluang kepada ibu bapa dan komuniti memahami pentadbiran, tanggungjawab dan aktiviti sekolah dengan lebih jelas. Apabila mereka memahami keadaan yang berlaku di sekolah, mereka dapat membantu pihak sekolah dan murid dengan lebih berkesan.

Translate »